Wednesday, December 24, 2008

UMNO Yang Kuno

Beri amaran, gantung, malah dipecat bukanlah satu cerita pelik dalam tradisi UMNO. Tetapi kelmarin apabila seorang bekas Ketua UMNO Bahagian diberi amaran hanya kerana berkempen dengan menggunakan blog, ia menghadirkan rasa hairan saya yang bukan kepalang. Rupanya seperti yang dikatakan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithauddeen kelmarin mana-mana calon yang menggunakan blog untuk berkempen sebarang jawatan parti sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan UMNO Mac depan boleh dikenakan tindakan disiplin kerana ia melanggar Tatakelakuan UMNO. Namun ahli-ahli parti masih dibenarkan memiliki blog sendiri tetapi ia tidak boleh sama sekali memiliki sebarang unsur yang boleh ditafsirkan sebagai berkempen untuk diri sendiri atau pihak lain.

Saya terkeliru betul dengan Lembaga Disiplin UMNO ini. Mereka bercakap seolah-olah sedang berada di zaman baru mencapai kemerdekaan. Atau mungkin mereka ini jenis rabun IT yang tidak kenal dan tidak pernah menggunakan kemudahan internet, tidak tahu apa itu blog dan tidak sedar peranan blog di zaman digital ini? Tapi tak kan pula pemimpin-pemimpin besar UMNO itu berjiwa kecil dan sedungu itu? Mustahil, mustahil! Tak kan lah minit mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO masih ditaip dengan menggunakan mesin taip jenis Olympia atau Olivetti hingga memaksa Ahli Lembaga Disiplin UMNO tidak dapat balik ke rumah seperti yang dikatakan oleh Tengku Ahmad Rithauddeen? Tapi jika bukan itu, apa gerangan sebabnya hingga Lembaga Disiplin UMNO membuat keputusan sepelik itu?

Pada masa ini pun sudah banyak blog dibangunkan oleh calon-calon UMNO. Ada yang dibangunkan sendiri oleh calon-calon tersebut, ada juga yang dibangunkan oleh penyokong-penyokong mereka. Contohnya ialah blog Khairy Jamaludin, Dr Khir Toyo, Muhammad Mohd Taib dan lain-lain. Berdasarkan kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO bermakna blog-blog yang wujud itu perlu ditutup kerana melanggar arahan parti. Jika blog pro-UMNO ditutup ia mungkin berita baik untuk PR yang selama ini pun memang nampak menang besar dari segi jumlah blog di negara ini. Perang memenangi hati pengundi kini bukan lagi semata-mata menggunakan senjata konvesional - akhbar, TV dan ceramah, tetapi telah beralih kepada peperangan alam siber, peperangan alam maya yang lebih sengit dan canggih. Jika UMNO memilih untuk kembali ke zaman awal kemerdekaan, zaman di mana komputer belum wujud di negara ini, silakan. Jika mereka memilih untuk tertinggal jauh ke belakang dan menjadi shooting target PR di alam siber tanpa berpeluang membela diri dalam PRU ke-13 ini, silakan.

Meneliti keputusan Lembaga Disiplin UMNO itu, saya kadang-kadang tertanya-tanya - apa pandangan masyarakat luar negara membaca berita pelik penggunaan blog tidak dibenarkan dalam parti pemerintah negara ini? Mereka mungkin menganggap Malaysia yang terperosok di tangga 163 dalam senarai FIFA memang negara mundur dari segi pembangunan fizikalnya hingga penggunaan blog pun dipandang serong oleh kepimpinn politiknya. Mungkin ada negara luar yang menganggap kita cuma layak dibandingkan dengan Timur Liste, Liberia, Ivory Coast atau Lisotho yang pembangunan ITnya masih kuno dan terkebelakang itu. Walaupun pihak yang menampakkan diri sebagai kuno ialah kepimpinan UMNO, tetapi tidak mustahil Malaysia juga di pandang kuno, sekuno UMNO!!

(Petikan: pendikar gunung kriang)

3 comments:

perunding said...

putra singgah2 la kat laman saya,

perundingperiuknasi.blogspot.com

perunding said...

putra segera kerajaan rakyat.

Ali Abdullah said...

Salam,

terima kasih. Ia satu teguran yang membina. Kemerosotan Umno sebenarnya datang daripada 'kemelut' peraturan yang digubah oleh segelintir pemimpin Umno itu sendiri.

Pada asalnya ia bertujuan untuk menjaga tertib dan etika ahli parti daripada menjadi taksub dan melampau dalam memberi respon kepada pembangkang yang banyak unsur provokasi kebelakangan ini.

Namun, ada banyak sebenarnya blog pro-kerajaan yang mewakili mereka pada masa sekarang. Cuma tidak agresif seperti pro-pembangkang memandangkan lebih 80% alam siber yang kami kesan dikuasai oleh mereka.

Kini rakyat begitu menyukai berita-berita yang mempunyai unsur-unsur gosip dan cerita 'hangat', kerana ia lebih seronok untuk dibaca. Cuma kita nasihatkan agar dalam memberi pendapat, biarlah ianya berfakta dan tidak keterlaluan.

Wassalam