Monday, December 1, 2008

SUSAHNYA NAK DAPATKAN PARKIR DI PUSAT BANDAR ALOR STAR !!!

Bandar Alor Star bukanlah besar sangat. Semasa ia diisytiharkan sebagai bandaraya dulu ramai yang tersenyum sinis. Ada yang kata lebih baik isytihar Alor Star sebagai "bendangraya", bukan "bandaraya", kerana di sini banyak sawah dari bangunan tinggi. Tapi akhirnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersetuju Pihakberkuasa Tempatan (PBT) Alor Star dinaiktaraf dari Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya. Lalu wujudlah jawatan Datuk Bandar bagi menggantikan jawatan Yang Dipertua Majlis Bandaran. Seronoklah pemilik jawatan itu, selain dari kenaikan gred jawatan, gaji dan elaun juga bertambah hebat.

Tetapi itu cerita semasa BN masih memerintah Kedah. Kini Menteri Besar yang bertanggung jawab mengemudi negeri jelapang padi itu hanya menjadi ADUN biasa sahaja. Namun Alor Star masih tidak banyak berubah. Banyak rungutan kelewatan memungut sampah sejak zaman Mahathir Khalid menjadi MB hingga zaman Ustaz Azizan sekarang. Mungkin MB dan barisan exconya yang baru 9 bulan berkuasa itu sedang merangka sesuatu. Harap-harap begitulah.

Satu lagi masalah besar di Alor Star ini ialah masalah parkir, terutama di pusat bandar. Banyak pusat perniagaan penting yang menjadi tumpuan orang ramai terletak di pusat bandar meliputi Bulatan Teluk Wanjah hingga stesen keretapi dan menganjur hingga ke Pekan Cina serta Mergong. Tempat yang paling sukar untuk mendapatkan parkir ialah sekitar Jalan Kota hingga ke jalan sekitar bangunan Cathay lama. Di situlah terletaknya Mayban, BSN, pusat beli belah terkemuka, hotel, kedai pakaian, Pekan Rabu, Tabung Haji dan lain-lain. Dan kalau nak letak kenderaan, aduhai...pusing 3 kali jika dapat sudah dikira bernasib baiklah. Jika dekat musim perayaan, laluan ini paling sesak dari pagi hingga ke malam. Teringat 2 hari sebelum Aidil Fitri baru-baru ini saya dan anak-anak keluar untuk membeli barang selepas Tarawih. Saya ingatkan lepas Tarawih orang sudah malas hendak keluar, tetapi apabila ramai orang yang punya fikiran yang sama dengan kita, jalan pun jadi sesak bukan main. Bila nampak ada ruang yang boleh parkir di luar petak biasa, belum pun saya keluar dari kenderaan, polis dengan wajah tanpa senyuman mengarah kenderaan bergerak segera dari situ. Akhirnya kerana gagal mendapatkan parkir terpaksalah batalkan agenda membeli barang dan balik semula ke rumah dalam kekeciwaan.

Itu cerita dekat hendak raya. Musim di luar raya pun hampir sama juga, sesak tidaklah berapa sangat berbanding KL, JB, Ipoh atau Georgetown, namun hendak dapatkan tempat parkir sangatlah memeningkan. Masalahnya ialah tempat parkir di tengah Bandaraya Alor Star ini sangat terhad. Hendak ditambah tempat parkirpun nampak susah, kerana seperti tiada ruang kosong lagi. Mungkin pihak Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) boleh memikirkan sesuatu jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini, seperti mengadakan tempat parkir bertingkat di tempat yang sesuai. Bangunan-bangunan komersil tempat tumpuan umum seperti bank dan finance serta pusat beli belah pula eloklah mencari tapak alternatif lain di luar pusat bandar seperti di sekitar Mergong dan Pesiaran Sultan Abdul Hamid yang nampaknya masih bebas dari masalah parkir.

MBAS telah mendapat Datuk Bandar yang baru, Datuk Khazali Din yang mula berkhidmat kelmarin. Harap Datuk Khazali dapat bekerjasama dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang menjaga PBT, Datuk Taulan Rasul untuk memikirkan sesuatu bagi mengatasi masalah parkir di Bandaraya Alor Star ini. Semoga penyapu baru akan menunjukkan keupayaan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding yang lama demi kesejahteraan penduduk bandar ini.

3 comments:

azreen said...

MB kedah tolong la bina byk lagi tempat-tempat parking..ke tak cukup tanah sb nk bukak kandang ba alif ba ya?

putra revolusi said...

sdr azreen budiman,

Saya kira tak usahlah kita bicarakn lagi mengenai projek ladang ba-alif-ba-ya itu. Projek ladang ba-alif-ba-ya yang diluluskan pada 4.12.2007 iaitu semasa Kedah masih diperintah UMNO itu telah dibatalkan oleh kerajaan baru Kedah pada 2 minggu lepas. Berdoalah kita agar kerajaan negeri Kedah yg memerintah hari ini tidak terikut-ikut dengan dasar UMNO yang meminati ba-alif-ba-ya itu, amin.

azreen said...

alhamdulillah... jika benar projek itu telah dibatalkan..

saya hanya perjuangkan kepentingan agama dan bangsa saya..