Saturday, December 6, 2008

AL-FATIHAH UTK YG PERGI, TAKZIAH UTK SEMUA MANGSA DAN SEMOGA MASIH ADA ESOK UTK YG BELUM DITEMUI


[DIKEMAS KINI, 7.45 petang] KUALA LUMPUR Mayat mangsa keempat tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa ditemui pukul 7.45 petang tadi.

Dengan itu jumlah mangsa terbunuh setakat ini telah meningkat kepada empat.

Difahamkan dia merupakan seorang wanita Indonesia.

Dalam pada itu, operasi untuk mengesan seorang lagi mangsa masih diteruskan.

Terdahulu polis berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dijalankan 24 jam bagi mengesan dua yang masih dipercayai tertimbus.

Ketika menemui wartawan pukul 7 petang tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, hanya dua disahkan hilang oleh saudara-maran dalam kejadian itu - yang ketiga dalam tempoh seminggu ini di negara ini.

Ia merupakan tragedi ketiga paling buruk di Hulu Klang sejak Disember 1993, yang melibatkan satu blok Highland Tower runtuh.

Mengenai enam yang dikatakan hilang sebelum ini, beliau berkata, ia dikesan ketika menggunakan alat pengesan.

"Mungkin masa kita sedang kesan ada haiwan atau kenderaan yang lalu," katanya.

Terdahulu, polis berkata, setakat pukul 5.30 petang tadi, nasib mereka tidak dapat diketahui kerana kedudukan rumah yang dihuni itu telah bergerak dari tempat asal berikutan kejadian tanah runtuh 4 pagi tadi.

Pasukan mencari dan menyelamat telah mula menggunakan jengkaut untuk mengesan mangsa yang tertimbus itu memandangkan kejadian telah berlaku lebih 12 jam.

Khalid berkata, pasukan mencari dan menyelamat akan menggunakan kepakaran untuk memastikan mangsa tertimbus tidak tercedera apabila jengkaut digunakan.

"Ada enam orang yang masih hilang. Pasukan menyelamat menggunakan anjing pengesan dan peralatan elektronik.

"Pada pukul 12 tengah hari tadi kita dapat mengesan dua mangsa di rumah hujung yang masih tertimbus.

"Kita sedang berusaha mendekati, harap-harap mereka boleh bertahan sampai kita datang," kata Ketua Polis Selangor kepada media di tempat kejadian.

Setakat pukul 7 pagi tadi, tiga mangsa yang terbunuh sudah dikenal pasti.

Mereka ialah Shaiful Khas, 20, anak kepada Datuk Shaharuddin Adnan, ahli perniagaan yang telah bersara.

Dua yang lain ialah isteri jurutera K. Thanarajah, Dr. N. Yogeswari, 40, dan akauntan Eng Yee Peng, 30.

Ketiga-tiga mayat mangsa dituntut oleh keluarga masing-masing hari ini.

Jenazah Shaiful Khas dituntut oleh keluarganya kira-kira pukul 4 petang ini untuk dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang selepas Asar.

Shaiful Khas, anak bongsu daripada dua beradik, tertimbus di tingkat bawah rumah banglo dua tingkat milik keluarganya. Sementara itu, mayat mendiang Yogeswari, 40, seorang doktor haiwan, dituntut oleh keluarganya pada pukul 3.30 petang ini untuk dibawa ke rumah adik suaminya di Kelab Ukay.

Yogeswari maut apabila cuba menyelamatkan anaknya, Tidesh, 10, dalam keadaan gelap di rumah mereka akibat terputus bekalan elektrik.

Menurut keluarganya yang tidak mahu dinamakan, mayat mendiang akan dibakar esok di Pusat Pembakaran Mayat Cheras.

Mayat Eng yang baru melahirkan anak dua bulan lepas, dituntut oleh keluarganya untuk dibakar pada Isnin ini.

Dalam pada itu, Khalid berkata, kawasan kejadian melibatkan keluasan kira-kira empat hektar (10 ekar) manakala penduduk di kawasan satu kilometer membabitkan kawasan sekitar lokasi kejadian sedang dipindahkan.

Selain itu, kata beliau, empat lagi mangsa sudah dikesan iaitu di rumah bernombor 15 dan tiga lagi di rumah bernombor 16 Taman Bukit Mewah tetapi kedudukan mereka belum dikenal pasti.

"Berhubung usaha pemindahan bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan belakang dan di atas kawasan kejadian, kita telah sediakan Sekolah Kebangsaan Ulu Klang sehingga Ikram dan Jabatan Kerja Raya mengesahkan kediaman mereka selamat," katanya lagi.

Malah kata beliau, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa laluan yang akan dibuka untuk penduduk yang tidak dapat keluar dari kawasan tempat tinggal di belakang tempat kejadian kerana terdapat halangan tanah runtuh.

"Kita telah buka laluan menghala ke Taman Milenium untuk membolehkan penduduk keluar.

"Sekarang (sehingga 5 petang tadi) sudah ada dua jalan alternatif bagi membolehkan mereka keluar berjalan kaki," katanya.

Malah, jelas beliau, tindakan membuka jalan alternatif perlu diambil kerana usaha memindah akan mengambil masa dua hingga tiga hari jika hanya menggunakan satu jalan utama.

(Sumber : mStar)

No comments: