Wednesday, December 17, 2008

AKHIRNYA JERIT BERJAYA TIBA KE PARLIMEN.....

Polis membenarkan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), yang dianggotai pelbagai NGO, untuk memasuki kawasan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan pusat dan pembangkang tengah hari tadi.

Memorandum tersebut diserahkan kepada lima Ahli Parlimen.

Mereka terdiri daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah bagi pihak kerajaan, S. Manikavasagam (DAP), Mahfuz Omar (PAS), Dr. D. Jeyakumar (Parti Sosialis Malaysia) dan Saifuddin Nasution mewakili Ketua Pembangkang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kira-kira pukul 12.50 tengah hari tadi.

Sejak sebulan lalu Jerit mengadakan program mengayuh basikal untuk menyerahkan memorandum kerajaan-kerajaan negeri termasuk yang terbaru semalam kepada kerajaan negeri Selangor.

Pada sidang media diadakan selepas itu, Jeyakumar berkata, beliau berharap kumpulan-kumpulan lain juga selepas ini akan dapat menyuarakan hasrat mereka secara bebas dengan apa jua cara seperti yang dilakukan Jerit.

Beliau turut melahirkan rasa tidak puas hatinya kerana kumpulan yang terdiri daripada 130 orang itu ditahan oleh pihak polis di pintu masuk ke Parlimen sedangkan mereka telah pun mendapat kebenaran daripada pihak keselamatan Parlimen.

"Memang mereka tidak dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen kerana berseluar pendek tapi mereka dibenarkan masuk ke dewan serbaguna bagi mengadakan majlis kami di sini.

"Jadi sebab mengapa polis tahan mereka, saya tidak pasti," katanya.

Sementara itu, Murugiah pula telah meninggalkan majlis tersebut selepas menerima memorandun daripada mereka.

Bagaimanapun, penyelaras Jerit, Y. Kohila Janasekaran berkata, Murugiah berjanji akan melihat perkara yang terkandung dalam memorandum berkenaan.

Terdahulu, 12 daripada peserta kumpulan itu yang diketuai Mahfuz dan Manikavasagam dibenarkan berkayuh masuk ke pekarangan dewan seperti yang dirancang, manakala selebihnya dibenarkan masuk secara berperingkat dengan berjalan kaki.

Mereka tiba di dewan tersebut pada pukul 11.50 pagi dan disambut oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Lim Kit Siang (Ipoh Timur), Saifudin Nasution (Machang), Abdullah Sani (Kuala Langat), R. Sivarasa (Subang), Tian Chua (Batu) dan Salahuddin Ayub (Kubang Kerian).

(Petikan : mStar)

1 comment:

pembunuhiblis said...

Ngapa dah lama tak buat berita. Sakit ke? Atau baru kawin - sdg honeymoon.....