Tuesday, December 2, 2008

BOLEHKAH KITA BERHENTI SEKEJAP BERCAKAP KETUANAN MELAYU?

Isu Ketuanan Melayu (KM) bergema lagi sepanjang minggu lepas hingga hari ini. Dulu sudah reda sedikit, tetapi tokoh-tokoh komponen BN nampaknya masih tidak jemu-jemu memainkan isu itu. Mula-mula Soi Lek, kemudian Ketua Wanita MCA bercakap mengenai isu KM. Tsu Koon juga tidak ketinggalan menyokong pandangan 2 rakan komponen BNnya itu. Pemimpin-pemimpin UMNO bingkas tidak mahu mengalah untuk memanaskan isu yang membahayakan keselamatan negara itu. Ramai yang mengandaikan isu ini sengaja dipermainkan oleh parti-parti komponen BN yang kalah besar dalam PRU-12 yang lalu sebagai strategi untuk menarik sokongan kaum masing-masing. Jadi itu cuma satu sandiwara murahan sebabak untuk menaikkan emosi rakyat bagi menyokong semula MCA, Gerakan dan UMNO yang sokongan terhadap mereka kian luntur itu.

Saya sendiri tidak pasti bilakah konsep KM ini mula diperkenalkan dan siapa manusia yang memperkenalkannya. Yang saya ingat Muhammad Taib semasa menjadi MB Selangor dulu pernah memperkenalkan konsep Melayu Baru. Tetapi selepas kes penahanan beliau kerana menyeludup wang tunai ke Australia dan kemudian dipaksa meletak jawatan sebagai MB, konsep Melayu Baru itu senyap begitu sahaja. Tetapi siapa pelopor konsep KM ini? Zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn pernahkah ia dijadikan modal untuk menaikkan emosi rakyat?

Siapapun pelopor KM, ia kini menjadi konsep yang sangat terkenal. Tapi apa makna sebenar KM ini? Benarkah Melayu itu tuan di negara ini? Atau tuan itu sekadar untuk menunjukkan kehebatan Melayu? Dalam budaya Melayu 'tuan' adalah satu panggilan bagi menghormati pihak lain yang kedudukannya lebih mulia dari si-pemanggilnya. Semasa British memerintah Malaysia dahulu rakyat dipaksa memanggil mereka 'tuan'. Orang Melayu ketika itu tidak pula berani mengenengahkan konsep KM kepada British yang mereka sendiri panggil tuan ketika itu. British tentu akan ketawa jika orang Melayu meminta dipanggil tuan kepada penjajah yang mengiktiraf dirinya sebagai tuan itu.

Ada yang menyatakan bila ada tuan perlu ada hamba. British menganggap rakyat yang dijajahnya sebagai hamba, sebab itu British perlu dipanggil tuan oleh anak jajahnya. Jika memakai konsep yang sama bermakna pelopor konsep KM ni menganggap Melayu itu sebagai tuan dan bangsa lain - Cina, India dan lain-lain sebagai hamba mereka.

Sehingga kini masih ada panggilan 'tuan' dalam beberapa jabatan kerajaan. Di Pejabat Daerah, Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah dipanggil 'tuan' oleh kakitangannya. Begitu juga di beberapa jabatan berpakaian seragam seperti polis, tentera dan bomba, anggota bawahan akan memanggil 'tuan' kepada pegawai-pegawai atasannya. Ia sebagai penghormatan kepada pegawai yang gred jawatannya lebih tinggi dan tidak merujuk kepada konsep 'tuan' dan 'hamba'.

Ada yang menyatakan konsep KM ini bermakna kaum lain perlu menghormati supremacy orang Melayu sebagai kaum asal negara ini. Tetapi ada pihak lain menyaggah pendapat ini. Mereka berkata orang Melayu bukan kaum asal negara ini berdasarkan fakta sejarah dan antropologi yang menyatakan orang Melayu juga asalnya adalah pendatang. Berdasarkan sejarah, orang Melayu Proto adalah merupakan penghijrah yang berasal dari Yunnan, China yang datang ke negara ini hampir 2,500 tahun yang lalu. Sehingga kini dikatakan masih ramai wanita Cina di Yunnan memakai kain batik, menyerupai wanita Melayu yang membuktikan bahawa kedua-dua kaum ini mempunyai pertalian darah. Kedatangan Melayu Proto ke Semenanjung memaksa kaum Negrito yang merupakan penduduk asal negara ini terpaksa melarikan diri ke lereng bukit, dan kawasan pedalaman. Orang Cina pula mula berhijrah ke Malaysia pada awal abad ke-15 sebagai pedagang yang membentuk masyarakat baba di negeri-negeri Selat. Imigran Cina hanya mulai datang secara beramai-ramai pada tahun 1850an yang kebanyakannya berasal dari Kwangtung untuk bekerja sebagai pelombong dan peniaga. .Orang India pula telah mula dikesan datang ke Malaysia sejak abad pertama sebagai pedagang. Mulai tahun 1880an kaum India semakin ramai yang datang ke sini kebanyakannya sebagai buruh estet.

Selain dari orang Cina dan India, terdapat imegran yang berasal dari Indonesia. Penduduk dari kaum Minangkabau telah dikesan datang ke Semennajung sejak abad ke-14 bagi membentuk masyarakat Minang yang kebanyakannya tertumpu di Negeri Sembilan. Kemudian pada penghujung abad ke-19 ramai orang Bugis dari Sulawesi Selatan menetap di Selangor, Perak dan Johor; manakala orang Jawa pula bertumpu di selatan Semenanjung.

Masalahnya bolehkah orang Melayu menyatakan mereka itu kaum asal negara ini? Jika mereka menganggap sebagai kaum asal bagaimana pula dengan kedudukan Orang Asli yang lebih dahulu mendiami negara ini? Kita bernasib baik kerana Orang Asli tidak pernah membawa konsep Ketuanan Orang Asli bagi merujuk merekalah penduduk asal negara ini. Jika itu terjadi, pasti ia akan menimbulkan kenmarahan orang Melayu, Cina dan India yang menganggap mereka juga perlu diberi pengiktirafan.

Sesuatu yang ironis dalam membincangkan konsep KM ini ialah ketidak mampuan pemimpin-pemimpin yang mempertahankan KM itu untuk bertindak memartabatkan Melayu itu sendiri. Setelah 51 tahun merdeka, tahap ekonomi orang Melayu masih tidak banyak berubah. Masalah gejala sosial pula masih didominasi oleh orang Melayu. Bahasa Melayu juga hanya tinggal sebagai Bahasa Kebangsaan dalam perlembagaan tetapi seperti tidak diiktiraf oleh orang Melayu sendiri. Mana mungkin Bahasa Melayu dihormati jika nama parti yang menjadi juara Melayu itu sendiri menggunakan nama Inggeris - United Malays National Organisation? Mana mungkin Bahasa Melayu dihormati jika pembelajaran Sains dan Matematik yang dulu diajar dalam Bahasa Melayu kini diajar dalam Bahasa Inggeris yang menimbulkan kekeliruan kepada guru dan murid sekolah? Mana mungkin Bahasa Melayu dihormati jika masih ada lokasi bernama George Town, Butterworth dan Slim River di dalam peta negara ini? Mana mungkin Bahasa Melayu dihormati jika ada bangunan bernama Justice Palace dan KLCC, ada lokasi bernama precint, ada sistem keretapi moden bernama LRT dan sebagainya di negara ini sedangkan kita ada pilihan untuk menggunakan nama lain yang sesuai dalam Bahasa Melayu?

Walau apapun versi bagi memenuhi takrif KM ini, ia sepatutnya dijelaskan kepada semua orang bagi mengelakkan kekeliruan. Cuma diharap pemimpin-pemimpin politik kita, tidak kira kerabat BN mahupun kerabat PR tidak memainkan isu ini bagi meraih sokongan kaum masing-masing demi menjaga political mileage masing-masing. Jika emosi kaum masing-masing dibakar, dikhuatiri Malaysia sendiri nanti akan terbakar. Cukuplah dengan satu 13 Mei. Malaysia tidak perlu 13 Mei kedua yang boleh menghanguskan negara ini. Jika bumi Malaysia hangus, pemimpin-pemimpin politik kita yang bijak pandai sama ada dari BN dan PR itu mampu melarikan diri ke luar negara, tetapi rakyat yang dihasut untuk mencetuskan huru-hara akan tinggal bagi menyaksikan sebuah kehancuran. Jadi tidak bolehkah anda, wahai pemimpin-pemimpin kami yang dihormati untuk berdiam diri dari mencurahkan minyak ke dalam api?


-putra revolusi

No comments: