Friday, November 28, 2008

HARGA BARANG MELONJAK 100% DI ALOR STAR

oleh SinarHarian

ALOR STAR - Orang ramai di daerah ini merungut apabila harga bagi barang basah khususnya sayur-sayuran yang dijual di beberapa pasar borong di sini melambung sehingga melebihi 100 peratus daripada harga asal.

Tinjauan di pasar borong Alor Star dan Simpang Kuala di sini mendapati kenaikan harga melibatkan cili, santan dan daging import selain beberapa jenis sayur-sayuran.

Pengguna meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mengatasi masalah itu.

Harga cili besar ialah RM15 setiap kilogram berbanding RM5 satu kg, cili padi RM9 sekilogram daripada RM3, santan RM7 sekilogram daripada RM3.50 sekilogram dan daging import RM10 sekilogram daripada RM6.50.

Seorang peniaga makanan, Ismail Midin, 65, berkata, dia terpaksa juga membeli cili dan santan pada harga yang lebih mahal kerana tidak ada pilihan.

Seorang pengguna lain, Ahmad Ismail, 47 berkata, peniaga atau pemborong tidak sepatutnya menaikkan harga barang basah terlalu tinggi dengan menjadikan cuaca sebagai punca kenaikan.

“Kenaikan melebihi 100 peratus yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Peniaga pasar, Foo Ah Heng, 52, pula berkata, harga barangan itu mahal kerana dia mendapatkan bekalan pada harga tinggi daripada pemborong.

Zainal Abiddin Bulat, 58, berkata, musim tengkujuh turut menyebabkan kenaikan harga barangan basah kerana bekalan lebih sukar diperoleh.

Dia memberi contoh musim tengkujuh menyebabkan cili hidup meningkat secara mendadak daripada RM5 kepada RM15 sekilogram.

“Saya tiada pilihan dan perlu menjual pada harga mahal,” katanya.

1 comment:

taipingmali said...

"BN=barang Naik" Itulah slogan yang dimainkan oleh Pembangkang dalam PRU 12.

Jadi sekarang bila Pembangkang memerintah Kedah dan harga barang naik 100% apa slogan Pembangkang ?