Thursday, November 27, 2008

ADA SEKOLAH DI KEDAH MASIH SANGKUT GAMBAR MB LAMA

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Menteri Besar adalah ketua kerajaan, iaitu orang yang bertanggungjawab sebagai ketua pentadbir sesebuah negeri. Maka, adalah penting kepada rakyat untuk mengenali ketua pentadbir kerajaan
tersebut.

Namun, apa yang dikesalkan sekarang, masih terdapat sekolah-sekolah di negeri Kedah masih menampal gambar Menteri Besar terdahulu, walaupun kepimpinan kerajaan negeri telah bertukar selepas pilihan raya ke-12 Mac lalu.

Demikian diberitahu oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Koperasi, Teknologi Maklumat dan
Komunikasi, YB Tuan Haji Abdullah Jusoh bagi menjawab soalan ADUN
Bakar Bata, YB Dato' Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah pada Sidang Dewan
Negeri Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua
Belas. YB Dato' Paduka Ahmad Bashah menyarankan agar Exco Pendidikan
melawat sekolah-sekolah di negeri Kedah dengan tujuan pemantauan.

Menurut YB Tuan Haji Abdullah, Kerajaan Negeri dan pusat
bertanggungjawab dalam pembangunan sistem pendidikan. Kerjasama ini
penting bagi melahirkan para ilmuan yang berjasa kepada agama, bangsa
dan negara.

"Apa yang kita harapkan, ada satu rasa muhibah antara Kerajaan Negeri
dan Persekutuan adalah diharapkan, tapi apa yang saya dapati di
sekolah pun tak ada gambar Menteri Besar sampai sekarang, jadi
murid-murid tak tahu siapa Menteri Besar sebenarnya.

"Fungsi sistem pendidikan negeri dimainkan pada peringkat negeri dan
pusat, bagi peringkat negeri hanya mampu untuk membantu sebahagian
daripada aktiviti melibatkan murid-murid yang wujudkan suasana
pembelajaran serta sumbangan setakat yang kita mampu.

"YB Bakar Bata sarankan Exco pendidikan yang sepatutnya pergi ke
sekolah-sekolah, kalau pihak kementerian rasa ini sesuatu yang perlu
kita laksanakan, Alhamdulillah, walau macam manapun apa yang berlaku
sebaliknya," jelas beliau. (PETIKAN DARIPADA KEDAHLANI)

No comments: