Wednesday, December 3, 2008

SEMUANYA SALAH - HARGA MINYAK NAIK DIKATAKAN NEGARA BAKAL BANGKRUP, MINYAK TURUN PULA DIKATAKAN PENDAPATAN NEGARA TERJEJAS


KUALA LUMPUR: Pendapatan negara mungkin akan terjejas sekiranya harga minyak dunia turun dengan mendadak berikutan krisis ekonomi global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Sekiranya harga minyak turun mendadak, pendapatan akan terjejas kerana peratusan pendapatan dari minyak adalah tinggi," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini.

Jika pendapatan negara terjejas ia akan membawa kesan-kesan lain, kata beliau tanpa memberi perincian.

Minyak merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.

Beliau berkata ahli MT UMNO juga telah diberi taklimat muktahir mengenai keadaan ekonomi Amerika Syarikat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib juga merupakan Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO.

Harga minyak telah jatuh ke bawah paras US$50 setong berikutan keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) untuk melengahkan keputusan menurunkan kuota pengeluaran walaupun berpendapat bekalan melebihi permintaan di pasaran dunia sekarang. BERNAMA

Tuesday, December 2, 2008

BOLEHKAH KITA BERHENTI SEKEJAP BERCAKAP KETUANAN MELAYU?

Isu Ketuanan Melayu (KM) bergema lagi sepanjang minggu lepas hingga hari ini. Dulu sudah reda sedikit, tetapi tokoh-tokoh komponen BN nampaknya masih tidak jemu-jemu memainkan isu itu. Mula-mula Soi Lek, kemudian Ketua Wanita MCA bercakap mengenai isu KM. Tsu Koon juga tidak ketinggalan menyokong pandangan 2 rakan komponen BNnya itu. Pemimpin-pemimpin UMNO bingkas tidak mahu mengalah untuk memanaskan isu yang membahayakan keselamatan negara itu. Ramai yang mengandaikan isu ini sengaja dipermainkan oleh parti-parti komponen BN yang kalah besar dalam PRU-12 yang lalu sebagai strategi untuk menarik sokongan kaum masing-masing. Jadi itu cuma satu sandiwara murahan sebabak untuk menaikkan emosi rakyat bagi menyokong semula MCA, Gerakan dan UMNO yang sokongan terhadap mereka kian luntur itu.

Saya sendiri tidak pasti bilakah konsep KM ini mula diperkenalkan dan siapa manusia yang memperkenalkannya. Yang saya ingat Muhammad Taib semasa menjadi MB Selangor dulu pernah memperkenalkan konsep Melayu Baru. Tetapi selepas kes penahanan beliau kerana menyeludup wang tunai ke Australia dan kemudian dipaksa meletak jawatan sebagai MB, konsep Melayu Baru itu senyap begitu sahaja. Tetapi siapa pelopor konsep KM ini? Zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn pernahkah ia dijadikan modal untuk menaikkan emosi rakyat?

Siapapun pelopor KM, ia kini menjadi konsep yang sangat terkenal. Tapi apa makna sebenar KM ini? Benarkah Melayu itu tuan di negara ini? Atau tuan itu sekadar untuk menunjukkan kehebatan Melayu? Dalam budaya Melayu 'tuan' adalah satu panggilan bagi menghormati pihak lain yang kedudukannya lebih mulia dari si-pemanggilnya. Semasa British memerintah Malaysia dahulu rakyat dipaksa memanggil mereka 'tuan'. Orang Melayu ketika itu tidak pula berani mengenengahkan konsep KM kepada British yang mereka sendiri panggil tuan ketika itu. British tentu akan ketawa jika orang Melayu meminta dipanggil tuan kepada penjajah yang mengiktiraf dirinya sebagai tuan itu.

Ada yang menyatakan bila ada tuan perlu ada hamba. British menganggap rakyat yang dijajahnya sebagai hamba, sebab itu British perlu dipanggil tuan oleh anak jajahnya. Jika memakai konsep yang sama bermakna pelopor konsep KM ni menganggap Melayu itu sebagai tuan dan bangsa lain - Cina, India dan lain-lain sebagai hamba mereka.

Sehingga kini masih ada panggilan 'tuan' dalam beberapa jabatan kerajaan. Di Pejabat Daerah, Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah dipanggil 'tuan' oleh kakitangannya. Begitu juga di beberapa jabatan berpakaian seragam seperti polis, tentera dan bomba, anggota bawahan akan memanggil 'tuan' kepada pegawai-pegawai atasannya. Ia sebagai penghormatan kepada pegawai yang gred jawatannya lebih tinggi dan tidak merujuk kepada konsep 'tuan' dan 'hamba'.

Ada yang menyatakan konsep KM ini bermakna kaum lain perlu menghormati supremacy orang Melayu sebagai kaum asal negara ini. Tetapi ada pihak lain menyaggah pendapat ini. Mereka berkata orang Melayu bukan kaum asal negara ini berdasarkan fakta sejarah dan antropologi yang menyatakan orang Melayu juga asalnya adalah pendatang. Berdasarkan sejarah, orang Melayu Proto adalah merupakan penghijrah yang berasal dari Yunnan, China yang datang ke negara ini hampir 2,500 tahun yang lalu. Sehingga kini dikatakan masih ramai wanita Cina di Yunnan memakai kain batik, menyerupai wanita Melayu yang membuktikan bahawa kedua-dua kaum ini mempunyai pertalian darah. Kedatangan Melayu Proto ke Semenanjung memaksa kaum Negrito yang merupakan penduduk asal negara ini terpaksa melarikan diri ke lereng bukit, dan kawasan pedalaman. Orang Cina pula mula berhijrah ke Malaysia pada awal abad ke-15 sebagai pedagang yang membentuk masyarakat baba di negeri-negeri Selat. Imigran Cina hanya mulai datang secara beramai-ramai pada tahun 1850an yang kebanyakannya berasal dari Kwangtung untuk bekerja sebagai pelombong dan peniaga. .Orang India pula telah mula dikesan datang ke Malaysia sejak abad pertama sebagai pedagang. Mulai tahun 1880an kaum India semakin ramai yang datang ke sini kebanyakannya sebagai buruh estet.

Selain dari orang Cina dan India, terdapat imegran yang berasal dari Indonesia. Penduduk dari kaum Minangkabau telah dikesan datang ke Semennajung sejak abad ke-14 bagi membentuk masyarakat Minang yang kebanyakannya tertumpu di Negeri Sembilan. Kemudian pada penghujung abad ke-19 ramai orang Bugis dari Sulawesi Selatan menetap di Selangor, Perak dan Johor; manakala orang Jawa pula bertumpu di selatan Semenanjung.

Masalahnya bolehkah orang Melayu menyatakan mereka itu kaum asal negara ini? Jika mereka menganggap sebagai kaum asal bagaimana pula dengan kedudukan Orang Asli yang lebih dahulu mendiami negara ini? Kita bernasib baik kerana Orang Asli tidak pernah membawa konsep Ketuanan Orang Asli bagi merujuk merekalah penduduk asal negara ini. Jika itu terjadi, pasti ia akan menimbulkan kenmarahan orang Melayu, Cina dan India yang menganggap mereka juga perlu diberi pengiktirafan.

Sesuatu yang ironis dalam membincangkan konsep KM ini ialah ketidak mampuan pemimpin-pemimpin yang mempertahankan KM itu untuk bertindak memartabatkan Melayu itu sendiri. Setelah 51 tahun merdeka, tahap ekonomi orang Melayu masih tidak banyak berubah. Masalah gejala sosial pula masih didominasi oleh orang Melayu. Bahasa Melayu juga hanya tinggal sebagai Bahasa Kebangsaan dalam perlembagaan tetapi seperti tidak diiktiraf oleh orang Melayu sendiri. Mana mungkin Bahasa Melayu dihormati jika nama parti yang menjadi juara Melayu itu sendiri menggunakan nama Inggeris - United Malays National Organisation? Mana mungkin Bahasa Melayu dihormati jika pembelajaran Sains dan Matematik yang dulu diajar dalam Bahasa Melayu kini diajar dalam Bahasa Inggeris yang menimbulkan kekeliruan kepada guru dan murid sekolah? Mana mungkin Bahasa Melayu dihormati jika masih ada lokasi bernama George Town, Butterworth dan Slim River di dalam peta negara ini? Mana mungkin Bahasa Melayu dihormati jika ada bangunan bernama Justice Palace dan KLCC, ada lokasi bernama precint, ada sistem keretapi moden bernama LRT dan sebagainya di negara ini sedangkan kita ada pilihan untuk menggunakan nama lain yang sesuai dalam Bahasa Melayu?

Walau apapun versi bagi memenuhi takrif KM ini, ia sepatutnya dijelaskan kepada semua orang bagi mengelakkan kekeliruan. Cuma diharap pemimpin-pemimpin politik kita, tidak kira kerabat BN mahupun kerabat PR tidak memainkan isu ini bagi meraih sokongan kaum masing-masing demi menjaga political mileage masing-masing. Jika emosi kaum masing-masing dibakar, dikhuatiri Malaysia sendiri nanti akan terbakar. Cukuplah dengan satu 13 Mei. Malaysia tidak perlu 13 Mei kedua yang boleh menghanguskan negara ini. Jika bumi Malaysia hangus, pemimpin-pemimpin politik kita yang bijak pandai sama ada dari BN dan PR itu mampu melarikan diri ke luar negara, tetapi rakyat yang dihasut untuk mencetuskan huru-hara akan tinggal bagi menyaksikan sebuah kehancuran. Jadi tidak bolehkah anda, wahai pemimpin-pemimpin kami yang dihormati untuk berdiam diri dari mencurahkan minyak ke dalam api?


-putra revolusi

Monday, December 1, 2008

DUHAI DATUK PANGLIMA, SAYA MAAFKAN ANDA!!!,

Saya terbaca permohonan maaf blogger panglimaperangcyber di blog saya. Walaupun seperti kurang ikhlas, kerana masih berbaur prasangka bahawa saya mungkin adalah klon kepada pengacau bernama Saiful , namun sebagai insan kerdil saya dengan rendah hati menerima permohonan maaf beliau. Kita insan yang lemah seringkali membuat kesilapan. Wira sebenar dalam hidup yang singkat ini bukanlah seorang panglima yang gagah berani di medan perang, tetapi seorang yang berani memohon maaf. Berapa ramai antara kita yang berani memohon maaf selepas menyedari kesilapannya? Ramai yang hanya buat-buat tidak tahu sahaja selepas menyedari kesilapan diri, kerana kita sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri. Justru kepada panglimaperangcyber, saya tabik dan sanjungi keberanian anda itu!!

Dalam hal ini saya sekali lagi menafikan saya adalah Saiful dan jika Saiful yang asli membaca tulisan ini, saya juga berharap dia akan menceritakan yg sebenar. Saya juga berharap jika Saiful tiba-tiba muncul di blog BPN, blogger lain cuba tanyakan dia sama ada putra revolusi itu ada kaitan dengannya. Saya berharap sangat perkara ini bagi membersihkan nama saya.

Kepada peminat setia BPN, saya juga dengan rendah hati mengambil kesempatan di sini untuk memohon maaf sekiranya tulisan saya tempohari mengenai BPN mengguris hati anda. Jika tulisan saya itu mengguris hati anda, saya sebenarnya tidak berniat hingga ke tahap untuk mengguris hati insan lain. Mungkin ia berlaku kerana salah sangka saya terhadap BPN yang pada mulanya saya berharap sebagai wadah terbaik untuk bertukar fikiran di antara penyokong BN, penyokong PR, mahupun orang tanpa parti seperti saya. Saya tidak tahu BPN rupanya tidak begitu mengalu-alukan kalangan yang berbeda pandangan dengan majoriti ahli BPN. Maafkan saya kerana itu.

Walaupun diharamkan dari menyertai konferen BPN, namun insyaallah saya akan tetap membuka blog BPN, sekadar utk membaca, bukan untuk menyertai konfren. Tidak rugi mengikuti pandangan yg berbeda kerana ia pasti akan menyuburkan lagi tahap demokrasi di negara tercinta ini.

MENGAPA KALUT SANGAT BILA ZAID KE KONGRES PKR?

Nampaknya banyak pihak dalam UMNO memberi reaksi negatif terhadap kemunculan bekas Menteri di JPM Datuk Zaid Ibrahim di kongres PKR tempoh hari. Nazri, Muhyiddin, Muhammad Taib, Rafidah dan ramai lagi memberi reaksi yang hampir sama iaitu membantah kehadiran Zaid dalam majlis itu.

Saya tertanya-tanya mengapa politik kita menjadi seperti itu, bermusuh tidak habis-habis. Di satu pihak pemimpin kita menganjurkan rakyat untuk bersatu tanpa mengira perbedaan anutan politik. Tetapi mereka sendiri nampaknya cakap tidak serupa bikin apabila tidak membenarkan ahli UMNO menyertai persidangan parti lain. Kontras sungguh. Murid diminta kencing duduk, tetapi guru pula kencing berlari-lari keliling padang.

Nampaknya pemimpin-pemimpin kita ini jenis manusia yang menganjurkan permusuhan sampai ke liang kubur. Saya tidak nampak apa salahnya hadir kongres atau persidangan parti lain. Malah jika pemimpin PKR, PAS dan DAP dijemput ke Persidangan UMNO sekalipun, bagi saya mereka perlu pergi. Pergi bukan bermakna untuk menyertai parti lain, tetapi sekadar sebagai pemerhati. Apa salahnya melihat dan mendengar pandangan yang berbeda bagi mengukuhkan tahap ketulusan kita? Dalam hal ini nampaknya rata-rata orang kampung lebih bijak dari pemimpin kita. Orang kampung bila kenduri semua dijemput tanpa mengira fahaman politik mereka. Begitu juga bila ada kematian, seisi kampung hadir tanpa mengira dia penyokong parti mana.

Tetapi pemimpin politik kita menganut budaya politik yang berbeda dari orang kampung. Apabila Anwar Ibrahim dipenjarakan di Sungai Buluh dulu saya tidak tahu sama ada bekas hulubalangn Anwar yang ketika itu menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri ada datang melawat dan bertanya khabar. Begitu juga ketika dia mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur, tidak tahu saya sama ada orang kuat BN ada yang mengunjunginya. Dan apabila Tun Mahathir terlantar di IJN, saya juga tidak tahu sama ada pemimpin PKR ada mengunjunginya, walaupun terdapat pemimpin PAS yang berbuat demikian.

Begitu juga keadaan di Parlimen. Sokongan dan bangkangan terhadap sesuatu perkara bukan berdasarkan isu yang dibangkitkan, tetapi siapa yang membawanya. Jika isu itu dibangkitkan oleh PR, baik bagaimanapun isu yang dibawa namun Ahli Parlimen BN tidak akan menyokongnya. Begitu juga sebaliknya jika isu yang dibangkitkan oleh BN, Ahli Parlimen PR pasti enggan menyokongnya..

Di Amerika Syarikat perkara seperti ini tidak terjadi. Sebaik sahaja Clinton tewas di tangan Obama, beliau terus berkempen bersungguh-sungguh untuk kemenangan Obama. Begitu juga apabila Mc Cain tewas di tangan Obama, dia pergi menemui Obama untuk menyatakan sokongan bagi membina sebuah Amerika yang baru tanpa mengingati permusuhan kelmarin.

Mungkin kita belum semaju Amerika, walaupun pemimpin kita bercakap minda kita sedang dipacu ke arah itu. Tetapi jika fikiran pemimpin kita tidak kira BN mahupun PR masih di takuk lama - di takuk bermusuh hingga ke liang lahad - maka banyaklah masa kita untuk berbincang soal politik sahaja. Lama-lama rakyat akan menjadi makin muak dengan politik anutan pemimpin politik kita, politik pecah belah yang mereka seringkali meminta rakyat jangan melakukannya.

- putra revolusi


SUSAHNYA NAK DAPATKAN PARKIR DI PUSAT BANDAR ALOR STAR !!!

Bandar Alor Star bukanlah besar sangat. Semasa ia diisytiharkan sebagai bandaraya dulu ramai yang tersenyum sinis. Ada yang kata lebih baik isytihar Alor Star sebagai "bendangraya", bukan "bandaraya", kerana di sini banyak sawah dari bangunan tinggi. Tapi akhirnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersetuju Pihakberkuasa Tempatan (PBT) Alor Star dinaiktaraf dari Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya. Lalu wujudlah jawatan Datuk Bandar bagi menggantikan jawatan Yang Dipertua Majlis Bandaran. Seronoklah pemilik jawatan itu, selain dari kenaikan gred jawatan, gaji dan elaun juga bertambah hebat.

Tetapi itu cerita semasa BN masih memerintah Kedah. Kini Menteri Besar yang bertanggung jawab mengemudi negeri jelapang padi itu hanya menjadi ADUN biasa sahaja. Namun Alor Star masih tidak banyak berubah. Banyak rungutan kelewatan memungut sampah sejak zaman Mahathir Khalid menjadi MB hingga zaman Ustaz Azizan sekarang. Mungkin MB dan barisan exconya yang baru 9 bulan berkuasa itu sedang merangka sesuatu. Harap-harap begitulah.

Satu lagi masalah besar di Alor Star ini ialah masalah parkir, terutama di pusat bandar. Banyak pusat perniagaan penting yang menjadi tumpuan orang ramai terletak di pusat bandar meliputi Bulatan Teluk Wanjah hingga stesen keretapi dan menganjur hingga ke Pekan Cina serta Mergong. Tempat yang paling sukar untuk mendapatkan parkir ialah sekitar Jalan Kota hingga ke jalan sekitar bangunan Cathay lama. Di situlah terletaknya Mayban, BSN, pusat beli belah terkemuka, hotel, kedai pakaian, Pekan Rabu, Tabung Haji dan lain-lain. Dan kalau nak letak kenderaan, aduhai...pusing 3 kali jika dapat sudah dikira bernasib baiklah. Jika dekat musim perayaan, laluan ini paling sesak dari pagi hingga ke malam. Teringat 2 hari sebelum Aidil Fitri baru-baru ini saya dan anak-anak keluar untuk membeli barang selepas Tarawih. Saya ingatkan lepas Tarawih orang sudah malas hendak keluar, tetapi apabila ramai orang yang punya fikiran yang sama dengan kita, jalan pun jadi sesak bukan main. Bila nampak ada ruang yang boleh parkir di luar petak biasa, belum pun saya keluar dari kenderaan, polis dengan wajah tanpa senyuman mengarah kenderaan bergerak segera dari situ. Akhirnya kerana gagal mendapatkan parkir terpaksalah batalkan agenda membeli barang dan balik semula ke rumah dalam kekeciwaan.

Itu cerita dekat hendak raya. Musim di luar raya pun hampir sama juga, sesak tidaklah berapa sangat berbanding KL, JB, Ipoh atau Georgetown, namun hendak dapatkan tempat parkir sangatlah memeningkan. Masalahnya ialah tempat parkir di tengah Bandaraya Alor Star ini sangat terhad. Hendak ditambah tempat parkirpun nampak susah, kerana seperti tiada ruang kosong lagi. Mungkin pihak Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) boleh memikirkan sesuatu jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini, seperti mengadakan tempat parkir bertingkat di tempat yang sesuai. Bangunan-bangunan komersil tempat tumpuan umum seperti bank dan finance serta pusat beli belah pula eloklah mencari tapak alternatif lain di luar pusat bandar seperti di sekitar Mergong dan Pesiaran Sultan Abdul Hamid yang nampaknya masih bebas dari masalah parkir.

MBAS telah mendapat Datuk Bandar yang baru, Datuk Khazali Din yang mula berkhidmat kelmarin. Harap Datuk Khazali dapat bekerjasama dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang menjaga PBT, Datuk Taulan Rasul untuk memikirkan sesuatu bagi mengatasi masalah parkir di Bandaraya Alor Star ini. Semoga penyapu baru akan menunjukkan keupayaan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding yang lama demi kesejahteraan penduduk bandar ini.

AWAS PR , JANGAN IKUT PERANGAI UMNO-BN!!

PAS ingatkan PR jangan ikut perangai UMNO-BN yang CAKAP TAK SERUPA BIKIN. Jika berlagak macam UMNO-BN tunggulah pembalasannya oleh rakyat dalam pilihnraya nanti!!


Saidah Hairan
Mon | Dec 01, 08 | 4:26:23 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Hrkh) - Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan menyeru pimpinan Pakatan Rakyat supaya menunaikan manifesto terhadap rakyat sebagaimana yang dijanjikan ketika kempen pilihan raya dahulu.

Iklan

Jika pimpinan Pakatan Rakyat tidak dapat melaksanakan segala janji dalam manifesto beliau yakin rakyat akan menyamakan kerajaan Pakatan Rakyat dengan Umno-BN.

Ini kerana katanya, selama ini Umno-BN hanya pandai menabur janji terutama dalam setiap kali kempen pilihan raya dengan tujuan memancing undi.

Memandangkan pimpinan Pakatan Rakyat masih baru dan belum sampai setahun mentadbir kerajaan mereka perlu jelaskan kepada rakyat mengapa manifesto tersebut masih belum dapat ditunaikan.

"Rakyat sudah fobia dengan pimpinan Umno-BN, jika pimpinan Pakatan Rakyat menempuh jalan yang sama dengan BN sudah tentu rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat," tegasnya.

Beliau berkata, jika dalam setahun kerajaan Pakatan Rakyat masih belum dapat menunaikan manifesto PAS akan menegur dengan memberi pandangan dan kritikan walaupun dalam kerajaan sendiri.

Selama ini teguran yang dilakukan oleh PAS menyebabkan ahli dan pimpinan Umno-BN mendakwa PAS akan keluar daripada Pakatan Rakyat tetapi sebenarnya PAS berfungsi sebagai `Check and balance' dan mahu melihat kerajaan Pakatan Rakyat jauh lebih baik daripada Umno-BN.

"Kita dalam PAS sebagai satu gerakan Islam sebab itu kita yang patut memberi peringatan kepada kerajaan hari ini sama ada Pakatan Rakyat dan Umno," tegasnya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat menjelaskan masih banyak lagi manifesto negeri Selangor yang belum ditunaikan seperti bantuan untuk tadika sebanyak RM50 seorang. _

ARIF SHAH DIAMBANG PINTU PKR

Jika berita ini menjadi kenyataan, tidak lama lagi PR akan tambah satu lagi kerusi DUN...


KUALA LUMPUR,1 Dis (Hrkh)- Umno bakal menerima tamparan hebat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dato' Arif Shah Omar Shah yang pernah mencabar Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu sedang mempertimbangkan untuk menyertai parti KeADILan.

Iklan

Menurut laporan, Arif Shah berada dalam keadaan dilema sama ada ingin terus kekal bersama Umno atau menyertai pembangkang setelah mengaku mendapat tawaran untuk melompat parti.

Menurut beliau yang tewas kepada Penasihat KeADILan 26 Ogos lalu, turut dijanjikan ganjaran jika bersetuju untuk menyertai pembangkang.

Arif Shah sebelum ini dilaporkan terkilan dengan tingkah laku Ketua Umno bahagian itu yang mengetepikannya dalam setiap urusan pentadbiran parti itu di peringkat bahagian.

Katanya, beliau kecewa kerana sebagai ADUN Seberang Jaya, beliau tidak dilantik sebagai ahli tambahan dalam Jawatankuasa Bahagian, selain tidak diberi tugas dan tanggungjawab yang sesuai.

Diminta mengulas lanjut sebab-sebab yang mendorongnya melompat kepada parti pembangkang itu, Arif Shah berkata penyalahgunaan kuasa yang didakwa dilakukan oleh pemimpin Umno yang menghalangnya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.- mks. _