Thursday, December 4, 2008

DI MANA SILAPNYA FATWA PENGHARAMAN MEROKOK KEPADA UMAT ISLAM?

Saya tertarik dengan kenyataan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abd Hamid yang menggesa agar fatwa rmengharamkan merokok yang telah diisytiharkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 23 Mac 1995 perlu segera diwartakan oleh setiap kerajaan negeri jika pihak kerajaan benar-benar serius untuk menjaga kesejahteraan rakyat negara ini. Ini kerana kata beliau gejala merokok adalah musibah yang sangat jelas dari pelbagai segi sehingga setiap tahun kira-kira 100,000 orang mati yang dikaitkan dengan penyakit akibat merokok.

Berdasarkan pemerhatian saya keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan ini telah dipersetujui oleh beberapa majlis fatwa negeri seperti Selangor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak. Ertinya keputusan telah dibuat di negei-negeri berkenaan bahawa merokok diharamkan kepada penganut-penganut Islam. Walaupun ada keputusan sedemikian di peringkat negeri, cubalah kita perhatikan situasi di negeri-negeri berkenaan, adakah semua penganut Islam menghormatinya?. Sekarang ini musim kenduri kahwin, cubalah bilang berapa tinggi kepulan asap yang dihisap oleh penganut-penganut Islam di negeri-negeri yang telah difatwakan merokok haram itu. Mengapa fatwa yang ada itu tidak dihormati oleh masyarakat Islam kita?

Mungkinkah penganut Islam di negeri-negeri berkenaan masih gila merokok kerana tidak menyedari adanya fatwa itu, ertinya fatwa yang ada tidak disebarkan secara meluas menyebabkan ramai yang tidak menyedarinya? Saya tidak ingin pergi jauh, cukup sekadar mengambil contoh kawasan perumahan tempat saya tinggal di Alor Star ini sahaja. Di dinding surau kami ada pelekat berbunyi, "Merokok Diharamkan Oleh Islam" yang telah hampir 2 tahun berada di situ, sesuai dengan fatwa yang dipersetujui oleh majlis fatwa negeri Kedah. Tetapi ramai yang tidak mengindahkan pelekat itu. Minggu hadapan perkarangan surau saya itu akan dipenuhi ramai orang kerana ada majlis korban sempena Aidil Adha. Seperti pada tahun lepas saya percaya ramai yang akan merokok sambil melapah lembu di perkarangan surau. Pelekat pengharaman merokok yang ada di hadapan mereka akan kekal sebagai perhiasan sahaja.......


1 comment:

pembunuhiblis said...

Sapa yg peduli sngat dgn fatwa nie...judi, arak, maksiat bercambah depan matapun org & k'jaan tak peduli, so... apa diharap dgn fatwa merokok nie?