Wednesday, December 10, 2008

TANAH RUNTUH DI BKT ANTARABANGSA - SALAH KHIR TOYO?

SHAH ALAM – Kerajaan pimpinan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo perlu bertanggungjawab terhadap kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa kerana telah meluluskan banyak projek pembangunan lereng bukit, walaupun terdapat bantahan daripada rakyat dan aktivis bumi hijau.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan kelmarin berkata, kejadian yang menyebabkan 14 rumah tertimbus dan mengorbankan empat orang terbunuh termasuk seorang bayi berusia dua bulan dua bulan serta mencederakan 15 yang lain itu bukan hanya kerana hujan lebat dan saliran yang tidak baik sahaja.

“Pimpinan kerajaan terdahulu perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku hari ini kerana mereka telah meluluskan banyak projek pembangunan lereng bukit.

“Tragedi dahsyat Highland Tower yang mengorbankan 48 nyawa masih tidak dijadikan iktibar oleh kerajaan di bawah pimpinan Dr Khir yang meluluskan projek-projek perumahan lereng bukit yang berisiko," katanya.

Walaupun memuji keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menghentikan semua projek-projek lereng bukit, tetapi Charles menganggap ia sudah terlambat kerana telah banyak kes tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dan kawasan sekitarnya.

“Saya juga ingin menarik perhatian pihak berkuasa kepada pembangunan Bukit Gasing yang dikecam penduduk setempat yang bimbangkan hakisan tanah.

“Apa yang saya faham, penduduk akan membawa kes tersebut ke mahkamah bagi mengkaji semula projek," katanya.

Dalam masa yang sama, Charles mengecam pihak berkuasa yang tidak mengambil perhatian serius terhadap kejadian yang berlaku seminggu lalu di Hulu Yam apabila dua beradik yang sedang tidur terbunuh akibat runtuhan dan selepas dua kejadian yang sama di Kuala Lumpur.

Beliau turut menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil tindakan tegas menentang pihak pemaju yang berkeras memohon membangunkan projek-projek lereng bukit.

“Kerajaan perlu menggunakan sepasukan pakar termasuk ahli-ahli geologi untuk memeriksa semua kondominium-kondominium di Bukit Antarabangsa dan lereng-lereng bukit yang lain untuk mencegah kejadian seumpamanya berulang.

“Sejajar dengan janji Pakatan Rakyat, saya mengalu-alukan larangan kerajaan Selangor terhadap pembangunan di lereng-lereng bukit yang lebih daripada 25 darjah kecerunan,” katanya.

Dalam kenyataannya juga, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.

(Petikan Sinar Harian)

No comments: