Sunday, December 14, 2008

PR PERAK UMPAMA TITISAN EMBUN DI PAGI NYAMAN......

PAS yang menerajui pemerintahan menganggap kerajaan Pakatan Rakyat Perak sebagai 'embun pagi' yang menyejukkan, yang menerima amanah untuk membela nasib 2.4 juta rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.






Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan negeri, Haji Mohd Zainuddin Mohd Yusof berkata, apabila Pakatan Rakyat berada di atas sebagai payung, pemerintahan, ia ibarat 'embun pagi' yang menjadi penyejuk kepada seluruh rakyat.

Katanya, Pakatan Rakyat, khususnya PAS ketika sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu, bercakap dengan nada sebagai pembangkang, tetapi selepas itu nada PAS berbeza kerana PAS telah menjadi pemerintah.

"Bila kita berada di atas menjadi payung kepada rakyat sebagai pemerintah, kita datang seperti embun pagi.

"Kita ibarat embun pagi yang menjadi penyejuk kepada seluruh rakyat," katanya ketika berucap sempena majlis sambutan Aidiladha Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kenering di Dewan Millenium Lawin dekat sini baru-baru ini.

Majlis dihadiri hampir 1,000 penduduk dalam kawasan Parlimen Lenggong itu turut diisi dengan acara penyampaian bantuan kepada 237 penerima dari kalangan fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim.

Pada sebelah paginya program korban dua ekor lembu dilaksanakan sempena Aidiladha, manakala makan malam untuk majlis itu diadakan di Masjid Lawin.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong yang juga Penyelia Dun Kenering, Ustaz Shukri Ahmad, bekas calon Parlimen Lenggong, Ustaz Zulkifli Zakaria dan Ketua Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS kawasan, Ustaz Mohd Hanafiah Idris.

Mohd Zainuddin berkata, sebagai payung yang bersifat embun pagi, walaupun PAS hanya menang enam kerusi, tetapi menerajui kerajaan Pakatan Rakyat Perak, PAS akan membela nasib seluruh rakyat.

Katanya, selama 50 tahun Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno memerintah negeri, selain PAS dan ahli-ahlinya ditindas, rakyat juga tidak mendapat pembelaan sepenuhnya.

Sepatutnya selama 50 tahun memerintah, katanya tidak ada lagi isu rakyat tidak ada tanah, tetapi apa yang berlaku masih banyak yang belum memiliki lot tapak rumah, jangankan untuk memiliki tanah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lubuk Merbau, berkata PAS yang menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak, akan meneruskan agenda pemerintahan negeri berkebajikan dengan berteraskan lima perkara.

"Kita akan meneruskan agenda pemerintahan negeri berkebajikan dengan melaksanakan lima teras, iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga maruah dan menjaga harta benda," katanya.

Beliau berkata, kelima-lima teras itu selaras dengan kehendak Islam sebagai agama rasmi persekutuan seperti termaktub dalam perlembagaan negara.

(Petikan: harakahdaily)

No comments: