Saturday, December 6, 2008

ADUHAI DR ZETI, TERINGIN SEKALI MENDENGAR BICARAMU DALAM BAHASA MELAYU!!!

Seringkali bila menatap siaran berita di TV terutama berkaitan ekonomi negara, pihak media akan meminta ulasan daripada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Saya selalu rasa tertarik apabila wajah beliau muncul di TV, bukan sahaja kerana keunikan suaranya yang seakan-akan seperti ingin menangis itu, tetapi kelancarannya berbahasa Inggeris. Beliau terlalu lancar berbahasa Inggeris sehingga hendak mendengar sepatah perkataan Bahasa Melayu terselit dari bibirnya pun kelihatan sukar benar. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan saya belum sekalipun pernah mendengar beliau berbicara di dalam Bahasa Melayu! Mungkin beliau pernah berbicara di hadapan media dalam Bahasa Melayu, malangnya saya tidak berkesempatan menatapnya. Hendak dikatakan terma ekonomi itu sukar diungkapkan dalam Bahasa Melayu tidak juga, kerana gabenur-gabenur BNM terdahulu boleh berbicara di dalam Bahasa Melayu, sekurang-kurangnya bahasa rojak Inggeris campur Melayu.

Yang anehnya mengenai Gabenur BNM yang seorang ini ialah beliau adalah anak kepda 2 orang budayawan Melayu yang begitu tersohor. Ayahnya ialah Prof Diraja Ungku Aziz yang bukan sahaja merupakan pakar ekonomi dan sentiasa dikenang sejarah sebagai pencetus ide penubuhan Tabung Haji tetapi beliau juga adalah seorang budayawan Melayu yang hebat dengan tahap penguasaan Bahasa Melayunya yang amat baik. Ibunya pula ialah Azah Aziz yang juga adalah budayawan, penulis dan sasterawan yang pernah mengeluarkan pelbagai buku termasuk mengenai bahasa dan kebudayaan Melayu.

Dengan latar belakang budaya Melayu beliau yang begitu cemerlang dari darah ibu bapanya saya agak terperanjat apabila Tan Sri Zeti enggan mengucapkan Bahasa Melayu setiapkali muncul di depan media. Mungkin juga beliau tidak begitu lancar berbahasa Melayu kerana latar belakang pendidikannya yang begitu lama berada di luar negeri. Atau mungkin ada sebab-sebab lain yang hanya beliau sahaja mengetahuinya. Apa pun alasannya sebagai orang Melayu beliau perlu sekali sekala menonjolkan jati diri Melayunya dengan cuba berbahasa Melayu. Sekali sekala lebih baik dari enggan berbahasa Melayu langsung di negara yang telah mengiktiraf bahasa itu sebagai Bajhasa Kebangsaan negara ini.

Oleh putra revolusi

No comments: