Prestasi gred A bagi subjek sains juga turut meningkat kepada 17.2 peratus daripada purata 16.4 peratus purata dari 2003 hingga 2007. Lalu akhbar-akhbar pun membuat kesimpulan bahawa keputusan cemerlang itu membuktikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjejaskan pencapaian pelajar dalam kedua-dua subjek berkenaan. Maka ramailah yang bertanya mengapa GAPENA, NGO-NGO Melayu dan parti-parti politik pembangkang begitu sibuk hendak mengembalikan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu, sedangkan keputusan PMR menunjukkan dasar itu tidak menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar kita.
Tapi benarkah pelajar-pelajar yang mendapat A dalam sains dan matematik dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik? Saya ada anak saudara yang mendapat A dalam semua subjek termasuk sains, matematik dan Bahasa Inggeris dalam PMR tahun lepas dan tahun hadapan dia yakin mengulangi pencapaian yang sama dalam SPM. Tapi saya lihat penguasaan Bahasa Inggerisnya tidaklah sebaik mana. Bila disoal oleh Mat Salih yang tersesat jalan pada suatu hari nampak benar dia gelabah dan terkial-kial untuk menerangkan arah jalan dengan bahasa yang paling mudah.
Ada rakan dari Kementerian Pelajaran menyatakan Kementerian itu memang sengaja membuat tambahan markah untuk subjek sains dan matematik bagi menghasilkan keputusan yang lebih baik kepada pelajar. Dengan itu pelajar yang sepatutnya mendapat B atau C dalam kedua-dua subjek itu telah mendapat keputusan yang lebih baik sama ada A atau B dan begitulah seterusnya. Dengan menghasilkan keputusan yang lebih baik dalam kedua-dua subjek itu ia dapat menepis bantahan pencinta-pencinta bahasa yang ingin mengembalikan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu.
Sama ada dakwaan rakan saya itu benar atau sekadar gurauan, saya tidak dapat mengesahkannya walaupun dia begitu yakin dengan sumber berita itu. Tetapi apabila mereka yang mendapat A dalam kedua-dua subjek itu gagal menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, maka saya hampir percaya dengan kata-katanya. Saya hampir-hampir percaya rupanya seperti ada konspirasi terancang bagi memastikan sains dan matematik terus diajar dalam Bahasa Inggeris di masa hadapan.
Petikan : http://pendikargunung.blogspot.com/